Tuesday, January 6, 2015

10 LANGKAH MUDAH PUPUK MINAT ANAK MEMBERUS GIGI

" Anak saya ni sangat susah nak disuruh gosok gigi. Selalu meronta-meronta. Kalau dapat gosok gigi dia sekali sehari pun dah kira cukup baiklah, itu pun saya dapat gosok bahagian depan sahaja, doktor"

Keluh salah seorang pesakit saya.

Pernahkah anda para ibu bapa sekalian menghadapi situasi yang sama tatkala mahu memberus gigi anak-anak? Kebanyakan ibu bapa yang datang ke klinik saya membawa anak-anak untuk rawatan pergigian pasti akan mengadukan hal ini.
Namun terdapat beberapa tips yang boleh anda praktikkan di rumah bersama anak-anak agar mereka seronok untuk memberus gigi dengan sendiri dan adakalanya sehingga si anak sendiri yang tampil mengajak ibu atau bapa untuk memberus gigi. Menarik bukan. Saya kongsikan beberapa tips berikut di sini untuk anda cuba.


1. ROLE MODEL


Selaku anak yang mula membesar mereka lebih cenderung untuk meniru aksi ibu bapa atau orang terdekat dengan mereka. Jika si ibu sering marah sang ayah sambil bercekak pinggang, lama kelamaan si anak juga lagaknya seperti ibu di saat menunjukkan rasa marah. Watak ROLE MODEL aka model contoh ini adalah merupakan antara cara terbaik untuk memupuk sikap positif anak jika dilorongkan secara betul.

-Anda boleh mulakan dengan menggosok gigi di hadapan anak supaya mereka rasa ingin tahu dan ingin cuba apa yang ibu bapa mereka lakukan 
-Kemudian berikan mereka berus gigi kanak-kanak selepas beberapa hari, untuk mereka cuba.
-Untuk lebih mudah, sediakan 2 set cawan. Satu cawan berisi air untuk berkumur, dan satu lagi cawan kosong untuk meludah.
-Setiap kali setelah selesai menggosok 1 bahagian permukaan gigi, pastikan anda meludah ke dalam cawan kosong supaya anak anda turut meniru apa yang dilakukan.
Dengan ini anda sudah cover 2 teknik penting dalam satu masa iaitu memberus gigi dan meludah.

Namun harus diingat, apabila anak memberus gigi sendiri, kebanyakan permukaan gigi terutamanya gigi bahagian belakang tidak dapat diberus sempurna, jadi menjadi tugas ibu bapa untuk tolong memberus selebihnya untuk mereka. Sebaik-baiknya pegang tangan anak dan guide mereka untuk memberus bahagian yang tidak kena. Lakukan ini setelah anak selesai memberus gigi dengan sendiri agar mereka berasa mereka telah diberi kepercayaan oleh sang ibu bapa.


2. CERMIN

 

Selain faktor role model, CERMIN juga adalah antara elemen penting yang perlu ada supaya anak-anak dapat melihat sendiri apa yang mereka berus dalam mulut mereka.
Sebaiknya biarlah anak berdiri SAMA LEVEL dengan role model dalam kedudukan selesa. Anda boleh gunakan kerusi yang lebar dan stabil untuk anak anda berdiri melihat cermin.

3. BERUS GIGI MENARIK


Penggunaan berus gigi yang menarik juga menyumbang kepada minat anak untuk memberus gigi, pastikan anda memilih berus gigi yang sesuai, serta mempunyai watak ceria atau kartun kegemaran anak-anak. 
Tips pemilihan berus gigi anak yang sesuai telah saya kongsikan dalam entri  lepas yang bertajuk 'THE DO'S & DONT'S DALAM PEMILIHAN BERUS GIGI ANAK"
. Anda boleh rujuk di sini

4. LABUR UNTUK BERUS GIGI BERMUZIK


Sekiranya anda mempunyai bajet yang lebih, anda boleh mencuba berus gigi bermuzik di mana berus gigi tersebut akan mula memainkan lagu di saat gigi mula diberus, dan berhenti setelah beberapa minit. Ia memberi maksud selagi lagu belum berhenti dimainkan, sang anak masih perlu memberus gigi. Namun berus gigi ini agak mahal dan jarang terdapat di pasaraya biasa dan ia juga tidak termasuk dalam keperluan untuk dimiliki.


5. TEKNIK PENCERITAAN


Anak-anak yang mula mengerti selalunya mudah untuk belajar menerusi cerita. Ceritakan kepada mereka dalam bentuk santai dan mudah difahami dengan dibantu oleh ilustrasi buku berkenaan keperluan menggosok gigi agar gigi tidak rosak.
Anda boleh menggunakan cerita ulat besar di dalam gigi yang hanya akan mati setelah gigi diberus.


6. VIDEO


Selain ilustrasi bergambar menerusi buku, anda juga boleh menunjukkan kepada anak video kartun sedang menggosok gigi. Mudah sahaja, cari sahaja di you tube. Mainkan secara berulang-ulang agar mereka berasa minat.


7. PERTANDINGAN


Jadikan aktiviti memberus gigi bersama anak sebagai pertandingan yang menyeronokkan seperti siapa dapat berus permukaan gigi paling banyak akan menang. Begitu juga aksi meludah, siapa dapat meludah paling banyak dialah wira.


8. PUJIAN


Setiap kali anak berjaya memberus gigi pada hari tersebut, pastikan anda berikan pujian betapa bersih, putih dan cantiknya gigi mereka supaya mereka terdorong melakukannya lebih kerap lagi.

9. HADIAH


Hadiah juga boleh diberikan buat anak-anak yang degil hendak memberus gigi. Ianya sebagai ganjaran atas kejayaan mereka memberus gigi setiap hari. Hadiah tidak perlu besar atau mahal, cukuplah sekadar perlu. Tetapi AWAS, kadangkala sekiranya anak ini terlalu terbiasa dimanjakan dengan ganjaran, lama kelamaan mereka jadi terbiasa dan akan mengamuk jika tidak diberikan. Jadi berpada-padalah.


10. UBAT GIGI


Ya, ubat gigi juga adalah merupakan antara faktor paling penting perlu ada untuk membina minat anak memberus gigi. Berikan mereka ubat gigi kanak-kanak yang sesuai dengan citarasa mereka.
Ubat gigi yang terdapat di pasaran sekarang datang dalam pelbagai perisa, anda boleh try & error dalam pemilihan perasa ubat gigi terbaik, mulakan dengan beberapa tiub kecil dan lihat perasa apa yang anak anda sukai.

Tidak semestinya kesemua tips-tips ini perlu dipraktikkan. Anda boleh memilih beberapa tips terbaik seperti nombor 1,2,3,7, dan 10. 

Saya berharap agar apa yang saya kongsikan ini dapat membantu memudahkan urusan anda para ibu bapa di luar sana. Insyaallah
Mari kongsikan di ruangan komen teknik yang manakah paling berkesan buat anda.
SELAMAT MENCUBA :)

"BAGAIMANA CARA IBU BAPA MEMBERUS GIGI  ANAK-ANAK KURANG UPAYA ATAU ANAK YANG MEMANG DEGIL DAN SUKAR MEMBERUS GIGI??"
Nantikan dalam entri seterusnya......................................................
   
SEMOGA BERMANFAAT
HIDUP LUAR BIASA
salam sayang
-drwan-



No comments:

Post a Comment