Sunday, September 28, 2014

"THE DOs & DON'Ts" DALAM PEMILIHAN BERUS GIGI UNTUK ANAK

 

 

1. DEWASA VS KANAK-KANAK


Berbanding orang dewasa, mulut kanak-kanak biasanya adalah lebih kecil. Oleh itu ibu bapa disyorkan agar memilih berus gigi yang bersaiz LEBIH kecil khas untuk kanak-kanak kerana ia bukan sahaja membantu kanak- memberus dengan mudah malahan setiap permukaan gigi dapat dicapai oleh berus gigi tersebut jika dibandingkan dengan saiz berus gigi yang besar 

2. LEMBUT VS KERAS


 
Kebanyakan berus gigi didatangkan khas dalam 3 jenis iaitu 'HARD', 'MEDIUM', dan 'SOFT'.
Sebaiknya pilih berus gigi yang mempunyai bulu lembut. Sekiranya berus gigi keras digunakan, ia boleh mendatangkan luka pada gusi kanak-kanak dan seterusnya menyebabkan hakisan gigi dalam jangka masa panjang.


3. KEPALA BERSAIZ KECIL VS BESAR


 
Meskipun berus gigi kanak-kanak adalah bersaiz lebih kecil berbanding dewasa, namun terdapat pelbagai variasi dari segi saiz dan kelebaran kepala berus gigi tersebut. Pemilihan berus gigi yang mempunya kepala bersaiz kecil akan membantu kanak-kanak memberus gigi secara lebih efisien.

4. PEMEGANG BERSAIZ KECIL VS BESAR


 
Pemegang (handle) berus gigi yang terlalu kecil atau terlalu besar adakalanya menyukarkan anak-anak untuk melenturkan tangan semasa memberus gigi. Sebaiknya pilih berus gigi yang mempunyai saiz pemegang yang selesa untuk digunakan oleh anak anda.


5. MANUAL VS AUTOMATIK (POWERED TOOTH BRUSH)


 
Terpulang kepada ibu bapa sama ada mahu membelikan anak masing-masing berus gigi biasa atau pun berus gigi yang dikuasakan oleh bateri aka powered tooth brush. Kedua-duanya masih memberikan kesan yang sama sekiranya teknik pemberusan adalah betul. Namun sekiranya anak anda mengalami kesukaran menggunakan berus gigi manual, anda boleh memperkenalkan powered tooth brush kepada mereka di samping itu anak-anak juga akan berasa lebih teruja dan seronok untuk memberus gigi

6. WARNA WARNI VS SEWARNA


 
Pilihlah berus gigi yang mempunyai warna-warna ceria buat anak-anak anda. Ini kerana kanak-kanak bersifat mudah tertarik kepada sesuatu yg ceria. Sekiranya berus gigi tersebut mempunyai watak kartun kegemaran anak-anak, ia adalah lebih baik dan membuatkan mereka semangat untuk memberus gigi.

7. TUKAR VS SIMPAN


 
Jangan lupa untuk menukar berus gigi setiap 3 bulan sekali, Berus gigi yang terlalu lama digunakan tidak lagi mampu membersihkan gigi secara efisien kerana berusnya sudah kembang. Lebih teruk lagi ia memjadi lubuk pembiakan bakteria yang digunakan sehari-harian. eiii...geli bukan?

8. KUALITI VS TIDAK BERKUALITI

 

 
Belilah berus gigi yang dikeluarkan oleh syarikat berus gigi berdaftar atau berjenama. Berus gigi murah yang biasa terdapat di pasar malam tidak diketahui akan cara pembuatannya malahan status kebersihannya juga diragui.

Semoga bermanfaat. 

HIDUP LUAR BIASA
salam sayang
-drwan-



Thursday, September 25, 2014

TRICK TERBESAR MENDAPATKAN RAWATAN CABUTAN GIGI PADA HARI YANG SAMA (AMARAN!! hanya untuk pesakit berpenyakit kronik sahaja)



Bagi pesakit kronik seperti pesakit jantung, darah tinggi dan kencing manis, pernahkah anda ditolak daripada mendapatkan rawatan cabutan gigi atau pun rawatan lain oleh doktor- doktor pergigian di klinik kerajaan mahupun swasta setelah pemeriksaan kesihatan anda didapati tidak memuaskan?

Apa yang anda rasakan pada masa itu?

KECEWA?
MEMBUANG MASA?
MENYUSAHKAN?

Seolah-olah para doktor ini tidak punya sifat belas untuk membuat rawatan ke atas anda bukan?
Dengan mudah disuruh datang kembali pada hari lain.

Tapi tahukah anda apakah sebab-sebab yang kukuh di sebalik nasihat doktor gigi in?

Sebelum anda teruskan pembacaan, saya ingin mengajak anda untuk berlapang dada, neutralkan fikiran, dan fokus kerana sebentar lagi saya akan menerangkan satu persatu asbab beserta TIPS-TIPS PENTING  dan berguna  sehingga anda tidak lagi disuruh pulang dan datang semula pada hari yang lain. 

Kebanyakan pesakit gigi yang menderita penyakit kronik seperti sakit jantung, buah pinggang, kencing manis, dan darah tinggi ini terdiri daripada warga emas yang adakalanya perlu dibantu atau ditemani orang lain untuk datang ke klinik. Oleh itu, PENJAGA / ANAK- ANAK pesakit juga perlu tahu akan tips ini.


1. IKUT JADUAL YANG BETUL

 

Kebanyakan klinik pergigian kerajaan di negara ini beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan. Sekiranya pesakit datang pada waktu temujanji pesakit lain,  kemungkinan untuk tidak dilayan atau mendapat rawatan lambat adalah amat tinggi kerana doktor akan mengutamakan kes-kes temujanji dan emergency terlebih dahulu.

 

2. TIDUR AWAL PADA WAKTU MALAM



 Pesakit darah tinggi terutamanya adalah disyorkan supaya tidur awal sebelum ke klinik pada keesokkan harinya. Adakalanya pesakit telah mengambil ubat darah tinggi pada waktu pagi namun tekanan masih tinggi disebabkan pesakit kurang tidur. Sebaik-baiknya tidur pada jam 10 malam. 

 

3. TIDAK MELAKUKAN AKTIVITI BERAT



 Melakukan sebarang aktiviti berat seperti berlari-lari,mengemas rumah atau tekanan boleh meningkatkan tekanan darah pesakit. Oleh itu pesakit hendaklah berehat sepenuhnya sebelum dan selepas rawatan.


4. BAWA SENARAI UBAT-UBATAN / SURAT DOKTOR YANG BERKAITAN DENGAN PENYAKIT. 

 

Senarai ini penting supaya doktor gigi tahu apa ubat-ubatan yang diambil pesakit kerana sesetengah rawatan pergigian memerlukan pesakit diberi antibiotik terlebih dahulu terutamanya kepada pesakit jantung.
Begitu juga dengan sesetengah ubat yang boleh memberi reaksi buruk sekiranya bercampur dengan ubat yang diberi oleh doktor gigi.


5. DATANG PADA WAKTU PAGI



 Bagi pesakit darah tinggi dan kencing manis adalah disyorkan datang ke klinik bagi mendapatkan rawatan pada jam 8-9pagi selepas makan ubat.
Ini kerana pada waktu pagi tekanan darah dan kandungan gula dalam darah pesakit cenderung berada pada tahap normal. Menjelang tengah hari  biasanya bacaan gula dan tekanan darah mula meningkat.
Bacaan yang dibolehkan untuk cabutan gigi adalah seperti berikut:
-RBS <11 mmol (bagi pesakit kencing manis)
-Tekanan Darah tidak melebihi 145/80 mmHg

 

6. MAKAN UBAT SEBELUM DATANG KE KLINIK



 Saya sering menemui pesakit darah tinggi dan kencing manis yang tidak mengambil ubat-ubatan mereka seperti yang disyorkan doktor sebelum datang ke klinik. Mereka berpendapat sekiranya cabutan harus dilakukan, mereka tidak boleh mengambil sebarang ubat pada hari tersebut. Ia adalah SALAH sama sekali melainkan jika ada sesetengah ubat yang disarankan oleh doktor gigi untuk diberhentikan sementara barulah ubat tersebut perlu dihentikan. Ini akan membuatkan tekanan darah dan gula pesakit berada pada tahap tinggi dan sekaligus menyebabkan mereka disuruh pulang dan datang semula pada hari lain.


7. SARAPAN RINGAN










Pengambilan sarapan di waktu pagi tidak boleh diambil ringan oleh pesakit terutamanya bagi mereka yang menderita kencing manis. Rata-rata pesakit ini tidak mengambil sarapan kerana terlalu takut bacaan gula dalam darah akan tinggi. Habit yang tidak sihat ini bakal mengundang risiko BAHAYA kerana ia boleh mengakibatkan bacaan gula terlalu rendah dan pesakit boleh jatuh pengsan.
Sebaik-baiknya ambil sedikit sarapan seperti buah-buahan, sedikit roti / biskut beserta air suam kosong.
ELAKKAN dari mengambil sarapan berat seperti TEH TARIK & NASI LEMAK supaya bacaan gula tidak tinggi.

***Sekiranya cabutan gigi tetap dilakukan dalam kedaan tekanan darah yang  terlalu tinggi, ia akan mengakibatkan darah yang keluar sukar untuk berhenti. Umpama air yang mengalir laju dari sebatang paip dan dimasukkan jari ke dalamnya bagi menambahkan tekanannya. Pasti memancut-mancut bukan?

***Dan sekiranya cabutan masih dilakukan dalam keadaan kandungan gula yang terlalu tinggi, ini akan mengakibatkan pembiakan bakteria yang tinggi seterusnya menyebabkan jangkitan yang lambat sembuh. Sebab ini jugalah ramai pesakit kencing manis tidak terkawal terpaksa dipotong kakinya.

Walaubagaimanapun sekiranya semua langkah-langkah ini telah diambil tetapi tekanan darah dan gula masih tidak terkawal, anda boleh merujuk semula kepada doktor perubatan kerana kemungkinan dos ubat perlu ditukar.

HIDUP LUAR BIASA
salam sayang
-DR WAN-